Kajian ini menganalisa data bahasa Melayu dari tahap bahasa bertulis yang formal. Data diperolehi daripada majalah Impiana (keluaran Januari 2004, volume 9, edisi 53), sebuah majalah tata hias luar dan dalam kediaman, kedai dan bangunan. Rata-rata pembaca majalah ini adalah golongan kelas profesional dan kelas pertengahan dari segi sosio-ekonomi. Rencana-rencana yang ditulis di dalam majalah ini adalah berkaitan pemilihan stail, warna dan tema tata hias, dan kebanyakannya penerangan berkaitan tata hias kediaman peribadi.
Proses pembentukkan perkataan dianalisis, iaitu proses Pemajmukkan dan Derivasi, dua proses yang paling biasa dalam pembentukan perkataan Bahasa Melayu.
PROSES PEMBENTUKAN PERKATAAN
Bahasa Melayu sedang melalui perubahan yang pesat, terutamanya dari segi perkembangan leksikonnya. Terdapat pelbagai proses dalaman pembentukan perkataan dalam Bahasa Melayu, contohnya derivasi, pemajmukan, akronim dan penggandaan. Antara proses pembentukan perkataan yang paling utama dalam Bahasa Melayu adalah Pemajmukan dan Derivasi.
1. Pemajmukan
Pemajmukan adalah proses pembentukan perkataan di mana dua atau lebih kata akar dimajmukkan menjadi satu item leksikal. Dalam Bahasa Melayu, dua atau lebih kata akar yang membentuk satu item leksikal ini biasanya ditulis berasingan, mengikut kata akar yang asal. Contohnya, “hijau” dan “gelap” adalah masing-masing satu kata akar. Jika dimajmukkan, ia akan menjadi satu item leksikal “hijau gelap”, iaitu sejenis tona hijau.
Pemajmukan dalam Bahasa Melayu boleh diklasifikasikan mengikut kelas perkataan kata akar dan perhubungan sintaktik di antara kata akar (berdasarkan Jackson dan Zé Amvela, 2000). Pengklasifikasi mengikut kelas perkataan adalah tidak berkaitan dengan perhubungan sintaktik di antara kata akar-kata akar ini. Secara kasarnya, dalam bidang tata hias berbahasa Melayu, kata akar yang pertama menentukan kelas kata majmuk. Berikut adalah contoh kata majmuk mengikut kelas perkataan:
Contoh 1.1 : Kata majmuk Kata Nama
KN + KN | riak muka |
KN + KN | kamar utama |
KN + KN | panel tingkap |
KN + KN | sistem pencahayaan |
KN + KN | pelan lantai |
KN + KN | kertas dinding |
KN + KK (Kata Kerja) | lampu berjurai |
KN + KK | tata hias |
KN + KK | tata atur |
KN + KK | kamar beradu |
KN + KK | istana hinggap |
KN + KK | seni bina |
KN + KK + KN | seni hias taman |
KN + KK + KN + KN | seni reka bentuk dalaman |
KN + ADJ (Adjektif) | warna selamat |
KN + ADJ | kulit depan |
KN + ADJ | dapur kering |
KN + ADJ | dapur basah |
KN + ADJ | latar belakang |
Dalam proses pemajmukan KN, sesuatu KN itu boleh dimajmukkan dengan KN yang lain, KK dan ADJ untuk membentuk kata majmuk KN. Kita dapat lihat dalam contoh di atas (contoh 1.1) bahawa kata akar pertama, iaitu KN, menentukan kelas perkataan kata majmuk berkenaan.
Contoh 1.2 : Kata majmuk Kata Kerja
KK + KN | merekabentuk |
KK + KN | dibaikpulih |
KK + KN | memukau mata |
KK + KN | mencuit rasa |
KK + KN | merentas sempadan |
KK + KK | meluru terus |
KK + KK | menata hias |
KK + KK | ubah suai |
KK + ADJ | meletup lantang |
Dalam proses pemajmukan KK pula, sesuatu KK itu boleh dimajmukkan dengan KK yang lain, KN dan juga ADJ untuk membentuk kata majmuk KK. Walau bagaimanapun pemajmukan dengan ADJ adalah agak jarang. Secara amnya, boleh dikatakan dalam bidang tata hias, lazimnya KK dimajmukkan dengan KK lain dan KN bagi menbentuk kata majmuk.
Contoh 1.3 : Kata majmuk Adjektif
ADJ + KN | putih salju |
ADJ + KN | hijau orkid |
ADJ + KN | hijau zaitun |
ADJ + KN | perang bata |
ADJ + KN | pudar kapur |
ADJ + KN | putih gading |
ADJ + KN | perang tembaga |
ADJ + KN + KN | hijau kem askar |
ADJ + KN + KN | perang gula melaka |
ADJ + KN + KN | perang pasir gurun |
ADJ + KN + KN | jingga bara api |
ADJ + KK | mampu milik |
ADJ + ADJ | luar biasa |
ADJ + ADJ | hijau muda |
ADJ + ADJ | perang gelap |
ADJ + ADJ | perang terang |
ADJ + ADJ | putih kuning |
Dalam proses pemajmukan ADJ, sesuatu ADJ boleh dimajmukkan dengan ADJ lain, KN dan KK. Pemajmukkan ADJ dengan KK adalah agak jarang dalam bidang tata hias. Lazimnya, terutamanya dalam penamaan tona-tona warna, ADJ dimajmukkan dengan KN dan ADJ lain.
Selain daripada contoh 1.1, 1.2 dan 1.3 yang diberikan, terdapat juga kata majmuk dalam Bahasa Melayu di mana kelas katanya ditentukan oleh kata akar yang kedua. Contoh bagi jenis kata majmuk ini adalah seperti berikut:
Contoh 1.4
KN + ADJ = ADJ | padanan sekata |
KN + ADJ = ADJ | cahaya kabut |
KK + KN = KN | tunjuk langit |
KK + ADJ = ADJ | garis beralun |
KK + ADJ = ADJ | garis kemas |
KK + ADJ = ADJ | garis lengkung |
KK + ADJ = ADJ | garis tajam |
Kita dapat lihat bahawa kata akar kedua menentukan kelas kata majmuk yang dibentuk. Di sini ia berlaku apabila ADJ diletakkan sebagai kata akar kedua, dan KN atau KK sebagai kata akar pertama.
Terdapat juga kata majmuk yang terbentuk daripada kata akar yang terdiri daripada kelas perkataan yang berlainan dan menghasilkan satu kata majmuk kelas perkataan yang baru. Antara contohnya adalah seperti berikut:
Contoh 1.5
KK + KK = ADJ | semula jadi |
KB (Kata Bantu) + KN = ADJ | boleh laras |
Di sini, kita dapat lihat KK “semula” dan “jadi” bila dimajmukkan menghasilkan kelas kata majmuk ADJ “semula jadi”. Pemajmukkan KB “boleh” dan KN “laras” pula menghasilkan kelas kata majmuk ADJ “boleh laras”. Kata majmuk “boleh laras” satu-satunya kata majmuk ADJ yang diperolehi dari data yang terdapat KB sebagai salah satu kata akarnya.
Selain daripada perhubungan di antara kata akar mengikut kelas perkataan, terdapat juga perhubungan kata akar dari segi sintaktik. Terdapat dua jenis perhubungan sintaktik, iaitu endocentric dan exocentric. Endocentric terbahagi kepada dua, iaitu ko-ordinat, di mana kata majmuk di mana kedua-dua (atau lebih) kata akar adalah penting, dan subordinat, di mana hanya salah satu kata akarnya adalah penting. Exocentric pula adalah di mana kedua-dua (atau lebih) kata akarnya adalah penting untuk mempunyai makna; masing-masing kata akar itu tidak berkaitan dengan makna kata majmuknya jika hanya digunakan bersendirian (Asha Doshi, 2004; Jackson dan Zé Amvela, 2000).
Data yang diperolehi tiada menunjukkan endocentric ko-ordinat dalam konteks tata hias Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, endocentric subordinat adalah sangat biasa, terutamanya apabila melibatkan warna, seperti “putih gading” (putih seperti gading gajah) dan “perang tembaga” (perang seperti tembaga). Contoh lain adalah seperti “garis beralun” (garis yang di lukis beralun). Contoh exocentric pula adalah “tunjuk langit” (pacang yang dipasang di atas bumbung untuk mengalirkan arus kilat ke bumi), “mampu milik” (sesuatu yang mampu dimiliki) dan “tata hias” (perihal cara dan kod seni hias dalaman).
Secara ringkasnya, kita dapat lihat bahawa pemajmukan adalah proses yang biasa dalam pembentukan perkataan dalam konteks tata hias dalam Bahasa Melayu. Pemajmukan adalah biasa kerana ia adalah jalan pintas bagi menyatakan maksud yang agak panjang (Jackson dan Zé Amvela, 2000), seperti yang kita dapat lihat dalam contoh kata majmuk “tunjuk langit” di atas.
2. Derivasi
Derivasi adalah proses pembentukan perkataan di mana imbuhan ditambah pada kata akar bagi menghasilkan perkataan baru. Ringkasnya, proses derivasi menambah imbuhan kepada kata akar yang wujud dalam sesuatu bahasa dan menghasilkan variasi tata bahasa kata akar tersebut. Terdapat dua jenis derivasi, iaitu derivasi bertukar kelas kata dan tidak bertukar kelas kata (Asha Doshi, 2004; Jackson dan Zé Amvela, 2000).
Dalam Bahasa Melayu amnya, terdapat beberapa jenis imbuhan yang terlibat dalam derivasi, iaitu imbuhan awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Dalam bidang tata hias, imbuhan derivasi yang paling biasa adalah imbuhan awalan, akhiran dan apitan.
2.1 Derivasi Bertukar Kelas Kata
Imbuhan bagi derivasi bertukar kelas kata menyebabkan sesuatu kata akar bertukar kepada kelas perkataan yang lain. Di sini, imbuhan itu menentukan kelas perkataan kata akar terbabit. Sebagai contoh, KN boleh dihasilkan daripada imbuhan yang ditambah kepada KK atau ADJ, KK daripada KN atau ADJ, dan ADJ daripada KN atau KK. Berikut adalah contoh derivasi KN yang berkaitan dengan bidang tata hias:
Contoh 2.1.1 : Derivasi Kata Nama
Kata Kerja | Imbuhan Awalan | Kata Nama |
lukis | pe | pelukis |
reka | pe | pereka |
milik | pe | pemilik |
pulas | pe | pemulas |
Adjektif | Imbuhan Awalan | Kata Nama |
sudah | pe | penyudah |
Kita dapat lihat di sini bahawa imbuhan awalan seperti “pe” menukarkan kelas kata KK dan ADJ masing-masing kepada KN. KK dan ADJ yang ditambah “pe” memberi makna orang atau benda yang melakukan atau menjadi KK dan ADJ tersebut, seperti “pelukis” adalah orang yang melukis, dan “penyudah” adalah benda yang menyudahkan (dalam kes ini, kemasan penyudah). Seperti yang ditunjukkan oleh contoh di atas, kita dapati bagi imbuhan awalan “pe”, jika huruf pangkal kata akar terbabit adalah “p” atau “s”, huruf berkenaan akan digugurkan. Bagi huruf pangkal “p”, “p” itu digugurkan dan diganti dengan “m” dan bagi huruf pangkal “s”, “s” itu digugurkan dan diganti dengan “ny”. Ini mungkin kerana asimilasi bunyi yang berlaku pada kata akar tersebut bila ditambah imbuhan “pe” (Baskaran, 2003).
Kata Kerja | Imbuhan Akhiran | Kata Nama |
jatuh | an | jatuhan |
reka | an | rekaan |
lakar | an | lakaran |
bangun | an | bangunan |
bina | an | binaan |
sentuh | an | sentuhan |
bahagi | an | bahagian |
bias | an | biasan |
Adjektif | Imbuhan Akhiran | Kata Nama |
kemas | an | kemasan |
kilau | an | kilauan |
dalam | an | dalaman |
padan | an | padanan |
Contoh di atas menunjukkan bahawa imbuhan akhiran “an” menukarkan KK dan ADJ kepada KN. Pada KK, penambahan “an” membawa maksud objek atau perkara yang terhasil daripada KK tersebut, seperti “lakaran” adalah hasil daripada perbuatan “lakar”. Pada ADJ pula, imbuhan “an” menunjukkan KN tersebut mempunyai ciri ADJ terbabit, seperti “padanan” adalah sesuatu yang “padan”.
Kata Kerja | Imbuhan Apitan | Kata Nama |
diam | ke – an | kediaman |
bina | pem – an | pembinaan |
niaga | per – an | perniagaan |
langgan | pe – an | pelanggan |
Adjektif | Imbuhan Apitan | Kata Nama |
merah | ke – an | kemerahan |
hitam | ke – an | kehitaman |
lengkap | ke – an | kelengkapan |
lega | ke – an | kelegaan |
luas | ke – an | keluasan |
lain | ke – an | kelainan |
Berdasarkan contoh di atas, imbuhan apitan juga boleh menukarkan kelas kata KK dan ADJ kepada KN. Imbuhan apitan yang menukarkan KK kepada KN adalah “ke-an”, “pem-an” (bagi huruf pangkal “b” pada kata akar), “per-an” (bagi huruf pangkal “n” pada kata akar) dan “pe-an” (bagi huruf pangkal “l” pada kata akar). Ia membawa maksud objek atau perkara yang terhasil dari KK berkenaan. Contohnya, “kediaman” adalah tempat yang orang diami. Bagi ADJ pula, penambahan “ke-an” adalah yang paling biasa. Ia membawa maksud KN berkenaan mempunyai ciri-ciri ADJ tersebut. Contohnya, “kemerahan” mempunyai ciri warna merah dan “kelegaan’ mempunyai ciri perasaan lega.
Derivasi KK pula adalah derivasi menggunakan imbuhan untuk membentuk KK dari kata akar KN atau ADJ. Contoh derivasi KK adalah:
Contoh 2.1.2 : Derivasi Kata Kerja
Kata Nama | Imbuhan Awalan | Kata Kerja |
reka bentuk | me | mereka bentuk |
titik berat | me | menitikberat |
tata hias | me | menata hias |
Adjektif | Imbuhan Awalan | Kata Kerja |
panas | me | memanas |
sejuk | me | menyejuk |
Contoh di atas menunjukkan bahawa dalam menukarkan kelas perkataan KN dan ADJ kepada KK, imbuhan awalan “me” adalah paling lazim digunakan. Dalam KN, imbuhan “me” digunakan dalam ayat aktif, iaitu subjek melakukan kata majmuk KK tersebut. Di sini, kita dapat lihat juga jika huruf pangkalnya “t”, ia akan digugurkan dan diganti dengan “n”. Pada ADJ pula, imbuhan juga digunakan dalam ayat aktif, iaitu subjek melakukan sesuatu supaya benda yang dibuat itu mempunyai ciri-ciri ADJ tersebut, seperti “memanas ruang dengan menggunakan warna terang”. Sebagai mana imbuhan “pe”, imbuhan “me” juga menyebabkan huruf pangkal “p” dan “s” akan digugurkan dan digantikan dengan “m” (bagi “p”) dan “ny” (bagi “s”).
Kata Nama | Imbuhan Akhiran | Kata Kerja |
sempurna | kan | sempurnakan |
warna | kan | warnakan |
Adjektif | Imbuhan Akhiran | Kata Kerja |
padan | kan | padankan |
suai | kan | suaikan |
Bagi imbuhan akhiran, data menunjukkan imbuhan “kan” adalah yang paling biasa digunakan untuk menukarkan KN dan ADJ kepada KK. Dalam KN dan ADJ yang ditambahan “kan” biasanya digunakan dalam ayat imperatif, iaitu subjek perlu melakukan KK berkenaan supaya hasilnya bercirikan KN atau ADJ terbabit. Contohnya “padankan perabot dengan aksesori supaya sesuai”.
Kata Nama | Imbuhan Apitan | Kata Kerja |
hasil | meng – kan | menghasilkan |
lampis | me – kan | melampiskan |
saksi | me – kan | menyaksikan |
ilham | di – kan | diilhamkan |
latar belakang | ber – kan | berlatarbelakangkan |
Adjektif | Imbuhan Apitan | Kata Kerja |
hidup | meng – kan | menghidupkan |
sempit | me – kan | menyempitkan |
kuat | me – kan | menguatkan |
lembut | me – kan | melembutkan |
lengkap | me – i | melengkapi |
padan | di – kan | dipadankan |
Contoh di atas menunjukkan imbuhan apitan digunakan untuk menukarkan kelas perkataan KN dan ADJ. Seperti imbuhan awalan “me”, “meng-kan”, “men-kan”, “me-kan” dan “me-i” digunakan dalam ayat aktif. Imbuhan apitan “ber-kan” juga digunakan dalam struktur ayat yang sama. Imbuhan “di-kan” pula digunakan dalam ayat pasif, di mana fokus ayat adalah objek dalam ayat aktif. Di sini kita dapat lihat, pada kata majmuk, apabila ditambah imbuhan apitan, kata-kata akarnya akan ditulis sebagai satu perkataan. Huruf pangkal juga digugurkan bila di tambah imbuhan “me-kan”, seperti “s” (digantikan dengan “ny”) dan “k” (dengan “ng”) (Baskaran, 2003).
Derivasi ADJ adalah derivasi menggunakan imbuhan untuk membentuk ADJ dari kata akar KN atau KK. Contoh derivasi ADJ adalah:
Contoh 2.1.3 : Derivasi Adjektif
Kata Nama | Imbuhan Awalan | Adjektif |
bingkai | ber | berbingkai |
bisa | ber | berbisa |
kualiti | ber | berkualiti |
pagar | ber | berpagar |
Kata Kerja | Imbuhan Awalan | Adjektif |
hias | ber | berhias |
kenal | ter | terkenal |
Data yang diperolehi menunjukkan bahawa dalam menukar kelas perkataan ADJ, hanya imbuhan awalan “ber” dan “ter” digunakan. Imbuhan “ber” membawa maksud ADJ berkenaan mempunyai ciri-ciri KN dan KK yang diderivasikan. Contohnya, ADJ “berbingkai” adalah sesuatu yang mempunyai bingkai. Imbuhan “ter” pula menunjukkan perbandingan superlatif paling.
2.2 Derivasi Tidak Bertukar Kelas Kata
Imbuhan bagi derivasi tidak bertukar kelas kata pula tidak menukarkan kelas perkataan sesuatu kata akar bertukar kepada kelas perkataan yang lain, tetapi menukarkan makna dan penggunaannya (Asha Doshi, 2004; Jackson dan Zé Amvela, 2000; Yule, 1994). Berikut adalah contoh derivasi tidak bertukar kelas kata:
Contoh 2.2.1 : Kata Nama
Kata Nama | Imbuhan | Kata Nama |
rangkai | -an | rangkaian |
waris | -an | warisan |
gaya | peng – an | penggayaan |
cahaya | peng – an | pengcahayaan |
tukang | per – an | pertukangan |
rangka | ke- | kerangka |
seni | ke – an | kesenian |
Data menunjukkan bahawa derivasi tidak bertukar kelas kata pada KN merangkumi imbuhan awalan “ke”, imbuhan akhiran “an” dan imbuhan apitan “peng-an”, “per-an” dan “ke-an”.
Contoh 2.2.2 : Kata Kerja
Kata Kerja | Imbuhan | Kata Kerja |
ukir | men- | mengukir |
selenggara | men- | menyelenggara |
kenal pasti | men- | mengenalpasti |
pandang | me- | memandang |
adun | meng- | mengadun |
himpun | di- | dihimpun |
bina | di- | dibina |
ukir | di- | diukir |
palit | di- | dipalit |
hias | -i | hiasi |
hias | -kan | hiaskan |
hias | di – i | dihiasi |
hias | di – kan | dihiaskan |
palit | di – kan | dipalitkan |
adun | di – kan | diadunkan |
tawar | me – kan | menawarkan |
tampil | me – kan | menampilkan |
serlah | me – kan | menyerlahkan |
hias | meng – i | menghiasi |
gugur | ber – an | berguguran |
Bagi derivasi KK pula, kita dapati ianya adalah agak biasa dalam konteks tata hias dalam Bahasa Melayu, terutamanya dalam membentuk ayat aktif atau ayat pasif. Dapat diperhatikan bahawa imbuhan awalan “me”, “men”, dan imbuhan apitan “me-kan” akan menukarkan huruf pangkal kata akar “t” kepada “n”, “s” kepada “ny” dan “p” kepada “m”. Walau bagaimanapun, imbuhan yang lain-lainnya mengekalkan huruf pangkal kata akarnya.
Contoh 2.2.3 : Adjektif
Adjektif | Imbuhan | Adjektif |
silap | ter- | tersilap |
sasar | ter- | tersasar |
hijau | meng- | menghijau |
Derivasi tidak bertukar kelas kata pada ADJ menunjukkan penambahan imbuhan awalan sahaja, iaitu “ter” dan “meng”. Imbuhan “ter” membawa erti tidak sengaja, dan imbuhan “meng” menunjukkan bercirikan ADJ berkenaan, dalam kes ini warna hijau.
PENUTUP
Sebagai penutup, medan semantik tata hias banyak menyaksikan pembentukan perkataan melalui proses pemajmukan dan derivasi. Dalam proses pemajmukan, KN, KK dan ADJ boleh dimajmukkan antara satu sama lain dan kata akar yang pertama biasanya menentukan kelas kata majmuk berkenaan. Tetapi, terdapat juga kata majmuk di mana kata akar yang kedua menentukan kelas kata majmuknya. Walaupun agak jarang berlaku, pemajmukan KN, KK dan KB akan membentuk kata majmuk yang berlainan kelas perkataan dari kata akarnya. Dalam proses pembentukan perkataan melalui proses derivasi pula, imbuhan awalan, akhiran dan apitan adalah yang paling banyak digunakan dalam proses derivasi. Terdapat dua jenis derivasi, iaitu derivasi bertukar kelas kata dan tidak bertukar kelas kata.
BIBLIOGRAFI
Asha Doshi. (2004). Leksikologi: Perhubungan makna dan Proses pembentukan perkataan. Fakulti Bahasa dan Linguistik: UM
Baskaran, L. (2003). General Linguistics: Semantics. Fakulti Bahasa dan Linguistik: UM
Campin Reka. (2004). Tata Bahasa: Bahasa Melayu. Retrieved 20th Feb. 2004 from http://tatabahasabm.tripod.com/tata.htm,
Impiana. (2004, Januari). Shah Alam: Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.
Jackson, H. dan Zé Amvela, E. (2000). Words, Meaning and Vocabulary: An introduction to Modern English Lexicology. London: Cassell.
Yule, G. (1994). The Study of Language: An introduction. Cambridge: Cambridge University Press.
.
No comments:
Post a Comment