Monday 21 February 2011

Perbezaan di antara Adjektif dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, dan kesannya dalam proses pembelajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (ESL)

Pengenalan

Perbezaan antara bahasa ibunda dan bahasa kedua sedikit-sebanyak mempengaruhi kebolehan seseorang dalam penggunaan bahasa keduanya.  Menurut Contrastive Analysis Hypothesis (CAH), ini berlaku kerana “gangguan” yang diterbitkan oleh bahasa ibunda terhadap banyak aspek dalam sesuatu bahasa itu.  Contohnya, dalam aspek tatabahasa, sebutan (fonetik dan fonologi) dan semantik.

Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris adalah dua bahasa utama di Malaysia.  Kedua-dua bahasa ini mempunyai perbezaan yang agak ketara, terutamanya dari aspek tatabahasa dan sebutan.  Adalah dijangka, pelajar yang mempunyai Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan mempelajari Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mempunyai masalah dalam proses pembelajarannya, terutamanya dari aspek tatabahasa.
Adjektif adalah salah satu aspek tatabahasa yang penting dalam sesuatu bahasa.  Ianya digunakan untuk memberi sifat atau menerangkan kata nama.  Penggunaannya yang salah dan tidak bersesuaian akan menyebabkan salah faham. Kertas ini akan cuba melihat secara umum perbezaan Adjektif dari segi tatabahasa di antara Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI), dan kesannya dalam proses pembelajaran BI sebagai bahasa kedua.

Perbezaan di antara Adjektif BM dan BI

Di antara perbezaan yang ketara di antara BM dan BI adalah dari segi kedudukan adjektif dalam sesuatu ayat.  Dalam BM, kedudukan adjektif atau kata sifat yang menerangkan kata nama adalah selepas kata nama tersebut.  Sebagai contoh,

kereta lama                   orang muda
kain putih                      budak pandai
rumah besar

Dalam BI, kedudukan adjektifnya dalam ayat adalah sebelum kata nama.  Contohnya,

old car                         clever boy
young man                   big house
white cloth

Selain daripada kedudukan Adjektif, pengkelasan jenis-jenis Adjektifnya juga berbeza.  Dalam BM, terdapat sembilan jenis Adjektif iaitu,
  1. Sifat keadaan
  2. Sifat warna
  3. Sifat perasaan
  4. Sifat ukuran
  5. Sifat jarak
  6. Sifat waktu
  7. Sifat cara
  8. Sifat bentuk
  9. Sifat pancaindera
Walau bagaimanapun, hanya terdapat lima jenis Adjektif dalam BI iaitu,
  1. Descriptive
  2. Quality
  3. Posessive
  4. Interrogative
  5. Demonstrative
Selain daripada perbezaan-perbezaan itu, BM dan BI juga berbeza dari segi perbandingan kata, iaitu comparatif dan superlatif.  Dalam BM, perbandingan sifat dinyatakan dengan perkataan-perkataan atau kata penguat (markers) seperti,

Lebih…daripada (comparatif)
Kurang…daripada (comparatif)
Paling (superlatif)
Sekali (superlatif)
Ter- (superlatif)

Manakala dalam BI, perbandingan sifat dinyatakan dengan penggunaan imbuhan atau perubahan pada perkataan tersebut.  Contohnya,

-er (comparatif)
morethan (comparatif)
the most (superlatif)
-est (superlatif)
perkataan yang berubah seperti good - better – bestbad - worse - worst.

Selain daripada itu, kedudukan adjektif di dalam frasa juga berbeza.  Dalam BM, jika terdapat dua adjektif, kata hubung “dan” akan digunakan.  Sebagai contoh,

Orang muda dan kuat
Rumah besar dan cantik

Jika terdapat lebih daripada dua adjektif, koma akan digunakan di antara adjektif-adjektif itu dan kata hubung “dan” digunakan sebelum adjektif yang terakhir.  Contohnya,

Kereta besar, cantik dan menawan
Meja lama, hodoh dan terbiar

Dalam BI, jika terdapat hanya dua adjektif dalam sesuatu frasa, tiada kata hubung yang digunakan.  Contohnya,

Poor old Tom
New long ruler

Jika terdapat lebih daripada dua adjektif, pada penggunaan biasa, peraturan yang sama digunakan.  Contohnya,

New, expensive, French dictionary
Big, old, wooden table

Kesan perbezaan pengunaan Adjektif dalam BM dan BI

Di antara kesan dalam proses pembelajaran BI sebagai bahasa kedua yang paling nyata ialah kekeliruan dalam meletakkan adjektif sebelum sesuatu kata nama.  Ini disebabkan kedudukan adjektif dalam BM adalah selepas kata nama.  Pelajar-pelajar yang Bahasa Melayunya adalah bahasa ibunda lazimnya akan menghadapi kekeliruan apabila mereka menterjemah secara langsung Adjektif + kata nama. Contohnya,

“rumah besar” akan menjadi *house big
“orang muda” akan menjadi *man young

Ini adalah kesalahan-kesalahan yang biasa didapati pada ayat-ayat BI yang dibuat oleh pelajar-pelajar yang bahasa ibunda mereka adalah Bahasa Melayu.  Walau bagaimanapun, latih-tubi dan penggunakan BI secara kerap akan dapat menolong pelajar-pelajar ini mengatasi masalah ini.

Selain daripada itu, pelajar-pelajar ini juga akan menghadapi masalah dalam penggunaan perbandingan sifat (comparatif dan superlatif).  Ini kerana perbandingan sifat dalam kedua-dua bahasa adalah berbeza (seperti yang kita lihat di atas).  Pelajar-pelajar biasanya akan keliru tentang penggunaan more atau most, –er atau –est dan perubahan pada keseluruhan adjektif dalam BI kerana tiada undang-undang sifat yang khusus mengenai penggunaan mereka.  Sebaliknya dalam BM, perbandingan sifat dilakukan dengan perkataan atau kata penguat (markers) seperti “paling”, “ter”, “sekali”, “lebih…daripada”, dan “kurang…daripada”.  Kata-kata penguat ini boleh digunakan dengan semua adjektif apabila perbandingan sifat dilakukan dalam BM.  Kekeliruan tentang penggunaan comparatif dan superlatif yang biasa adalah seperti,

badder / baddest (sepatutnya worse /worst)
more close (sepatutnya closer)
more longer (sepatutnya longer)

Lazimnya, pelajar-pelajar yang keliru dengan pengunaan perbandingan sifat dalam BI akan menggunakan penggunaan more atau most, –er atau –est dan perubahan pada keseluruhan adjektif dalam BI apabila mereka rasa sesuai atau yang mereka biasa lihat (hasty generalisation), tanpa rujukan yang lebih terperinci.  Walau bagaimanpun, pendedahan pada perbandingan sifat dan penggunaan BI yang kerap akan dapat membantu pelajar mengatasi masalah ini.

Penutup

Selain daripada kesan-kesan bahasa ibunda ke atas bahasa kedua yang telah disebutkan di atas, banyak lagi perbezaan-perbezaan dan masalah pengunaan yang lain yang tidak dinyatakan.  Sebagai contoh, kekeliruan di antara Adjektif dan Adveb dalam BI, dan kekeliruan penggunaan kopula be dalam BI untuk adjektif yang digunakan dalam predikat.  Perbezaan-perbezaan ini tidak dibincangkan di dalam kertas ini kerana ianyanya memerlukan kajian dan laporan yang lebih panjang, mendalam dan terperinci.

Banyak penyelidikan yang telah dijalankan mengenai pengaruh serta gangguan yang terbit dari bahasa ibunda ke atas bahasa kedua.  Tidak dinafikan bahawa pengaruh bahasa ibunda jelas terdapat dalam bahasa kedua kita, dalam kes ini, BM terhadap BI.  Sistem tatabahasa, sebutan (fonetik dan fonologi) dan semantik BM, contohnya, kadang-kadang  nyata dalam BI kita.

Disebabkan oleh perbezaan ini jugalah, ramai pelajar yang BMnya adalah bahasa ibunda menghadapi kekeliruan tentang penggunaan undang-undang dan sistem tatabahasa BI.  Pelajar-pelajar ini biasanya akan melakukan terjemahan secara langsung dari BM ke BI, ataupun mengaplikasikan sistem tatabahasa yang mereka biasa lihat (hasty generalisation).  Walau bagaimanapun, dengan pendedahan yang banyak dan kerap terhadap BI akan dapat membantu pelajar-pelajar ini mengatasi kekeliruan dan masalah yang dihadapi oleh mereka.  Di sinilah guru memainkan peranan yang penting dalam menolong and memimpin pelajar-pelajar ini supaya mereka memahami dan sentiasa cuba memperbaiki diri BI mereka, seperti menyalakan minat mereka terhadap bahasa kedua itu.

Rujukan

Abdullah Hassan.  1993.  Tatabahasa pedagogi Bahasa Melayu.  Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distributors

Asmah Haji Omar dan Rama Subbiah.  1985. An introduction to Malay grammar.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Collins Cobuild. 1990.  Collins Cobuild English grammar : helping learners with real English.  London: William Collins Sons

Hawkins, J.M.  1997.  Kamus Dwibahasa Oxford Fajar (edisi kedua).  Shah Alam: Fajar Bakti.
Marlyna Maros.  1998.  Practical contrastive and error analysis.  Kursus TESL/UKM Tahun 3, UKM

Nandy, M.  1990. Simple English grammar and better writing (second ed.).  Singapore: Composite Study Aid.

Othman Sulaiman.  1979. Bahasa Malaysia for everyone. Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distributors

.

No comments:

Post a Comment